Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Kerja dalamkan Sungai Sekamat bermula pada 2021

KAJANG, 26 NOV: Pembinaan benteng dan pendalaman Sungai Sekamat di sini dijangka bermula tahun hadapan membabitkan peruntukan berjumlah RM10 juta.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

“Kerja ini melibatkan jarak sepanjang 10km dari Kampung Sungai Sekamat dan kita berharap dapat diselesaikan tahun depan,” katanya selepas meninjau kawasan projek semalam.

Ahli Dewan Negeri Kajang berkata Sungai Sekamat, punca utama banjir di daerah berkenaan tidak diselenggara dengan baik hingga menyebabkan timbunan pasir.

“Apabila kontraktor tidak menyelenggara tebing dan pasir tidak dikorek dengan baik, maka air hujan yang turun ke dalam sungai tidak dapat bergerak,” kata Loy Sian lagi.