Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Kilang berlesen paling banyak sebabkan pencemaran sungai

SHAH ALAM, 5 NOV: Kebanyakan insiden pencemaran sungai negeri ini berpunca daripada kilang berlesen yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

EXCO alam sekitar berkata kegagalan mengikut arahan Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan menyebabkan pemilik kilang diarah mengosongkan tanah.

“Ramai mempunyai tanggapan salah insiden pencemaran disebabkan kilang tidak berlesen, sebenarnya ia berpunca daripada kilang berlesen yang gagal patuh SOP.

“Dalam kes begini tindakan tegas diambil antaranya mengosongkan tanah,” kata Hee Loy Sian pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Hee Loy Sian ketika sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 5 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sungai Air Tawar Rizam Ismail berhubung bilangan syarikat dikenakan tindakan kerana melakukan pencemaran sungai.

Pada 5 September Dato’ Menteri Besar mengarahkan pemilik kilang yang menjadi punca pencemaran Sungai Gong mengosong dan memulihkan tanah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Sementara itu, Loy Sian berkata sebanyak lapan syarikat diambil tindakan kerana mencemarkan sungai antara 2017 hingga November tahun ini.

Beliau berkata salah satu syarikat tersebut diisytihar muflis ekoran gagal membayar ganti rugi berjumlah RM205,243 kepada Lembaga Urus Air Selangor.

“Pihak berkuasa sukar mengambil tindakan dalam kebanyakan kes terutama melibatkan pencemaran bau kerana kita sukar mengesan pelaku.

“Kadangkala pencemaran dilakukan di saliran air atau anak sungai yang seterusnya mengalir ke sungai utama, jadi kita perlukan kerjasama orang ramai untuk salur maklumat,” kata Loy Sian lagi.