Categories
EXCO SELANGOR

Had 20 pengunjung rumah ibadat bukan Islam zon merah – EXCO

SHAH ALAM, 11 NOV: Hanya 20 pengunjung dibenarkan berada dalam rumah ibadat bukan Islam yang terletak di zon merah kes Covid-19, kata EXCO perpaduan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata tatacara operasi piawai (SOP) yang berkuat kuasa hari ini meliputi majlis keagamaan, upacara pengebumian dan pernikahan.

“Bagaimanapun majlis berkaitan resepsi perkahwinan, perarakan atau kenduri di kawasan zon merah adalah tidak dibenarkan.

“Individu berisiko tinggi, mereka yang berusia 70 tahun dan ke atas juga tidak dibenarkan hadir kecuali mereka adalah pemimpin utama agama atau perasmi upacara keagamaan tersebut,” katanya dalam sidang media di Dewan Annex, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Siti Mariah berkata majlis keagamaan, kelas pengajian agama, upacara agama untuk pernikahan, pengebumian adalah dibenarkan di kawasan zon hijau.

“Kerajaan Negeri menggesa supaya pengurusan rumah ibadat bukan Islam memastikan pematuhan terhadap garis panduan ini.

“Tumpuan perlu diberi membabitkan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan melakukan proses nyah kuman secara berkala. Kerjasama semua pihak sangat diharapkan bagi memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19,” katanya.