Categories
SELANGOR

Lebih 100 peserta hadiri temu duga Jelajah Selangor Bekerja

SHAH ALAM, 16 NOV: Lebih 100 peserta menghadiri sesi temu duga dalam Program Jelajah Selangor Bekerja di Stadium Tertutup Kuala Selangor semalam.

Inisiatif tersebut antara usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan secara terus menerusi temu duga yang dijalankan.

Peserta Siti Nur Syafiqah Husin, 25, berkata dia memohon kerja dalam bidang pentadbiran dan dipanggil menghadiri temu duga dengan beberapa syarikat.

“Saya hilang pekerjaan sejak tiga bulan lepas selepas syarikat membuang pekerja dan berharap permohonan kali ini berjaya bagi meringankan beban keluarga,” katanya

Bagi Mas Mariam Ma’mor Jaafar, 23, program tersebut turut memberi peluang kepada individu yang belum pernah bekerja seperti dirinya untuk mencuba nasib.

Peserta sedang menghadiri sesi temu duga secara maya ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya pernah menghadiri temu duga tetapi gagal dan hari ini saya yakinkan diri untuk hadir meskipun agak gementar,” katanya.

Sementara itu Intan Najwa Samsudin, 29, berharap Kerajaan Negeri dapat menganjurkan program kerjaya seiring dengan bengkel kemahiran diri dalam kalangan belia.

Lebih 90 syarikat menyertai jelajah di lima lokasi bermula di Kuala Selangor semalam, diikuti Gombak (21 November), Paya Jaras (22 November), Hulu Langat (29 Disember) dan Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan ialah pensyarah, tutor al-Quran, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, operator pengeluaran, operator panggilan pemandu traktor terminal dan penjaga stor.