Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis galak NGO hulur sumbangan, bantu taska tambahan

SHAH ALAM, 17 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) mengalu-alukan bantuan dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu anak petugas barisan hadapan.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata langkah itu membolehkan keperluan anak-anak yang ditempatkan di sembilan taska tambahan mencukupi.

“Kita dalam perancangan untuk sumbangkan peralatan mainan. Jadi mana-mana yang ada mainan terpakai boleh disumbangkan ke taska tambahan.

“Selain mainan, apa sahaja sumbangan dari NGO amat digalakkan. Usaha ini dapat membantu semua pihak,” katanya selepas melawat taska tambahan di Hospital Shah Alam serta bangunan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Oktober lalu, Kerajaan Selangor mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.