Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penggiat pelancongan di Selangor lega terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 20 NOV: Bantuan khas RM1,000 diberikan Kerajaan Negeri kepada penggiat pelancongan dapat menampung perbelanjaan golongan itu dalam tempoh mencabar akibat Covid-19.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Selangor berkata insentif tersebut membolehkan mereka terus bertahan dalam sektor pelancongan yang terjejas sejak Mac.

“Impak Covid-19 menyebabkan sektor pelancongan di Selangor dan Malaysia hampir lumpuh apabila operasi dihentikan buat sementara waktu.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Selangor M Perremal A/L Maruthamuthu

“Bantuan dihulur Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya memberi kami sedikit nafas untuk mengharungi tempoh mencabar,” kata M Perremel selepas menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Khas Pakej Pemulihan Ekonomi Impak Covid-19 di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor semalam.

Wakil Hos Komuniti Kuala Selangor Afzal Azhari berharap Kerajaan Negeri terus memberi sokongan kepada penggiat sektor tersebut.

“Marilah kita berdoa semoga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak berlanjutan bagi memastikan usaha memulihkan pelancongan dapat dilaksanakan pada 2021,” katanya.

Seramai 553 penggiat sektor pelancongan di Selangor terdiri pemandu pelancong berlesen, pengusaha inap desa dan Hos Komuniti Selangor menerima bantuan khas sebanyak RM1,000 secara sekali bayar.

Kerajaan Negeri juga bakal melancarkan 10,000 baucar subsidi pelancongan bernilai RM200 setiap satu pada pertengahan bulan depan.