Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air 664 kawasan stabil, 197 dalam pemulihan

SHAH ALAM, 9 DIS: Bekalan air 664 dari 861 kawasan terjejas dilaporkan stabil setakat jam 6 pagi ini, maklum Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata Air Selangor juga sedang berusaha menstabilkan agihan bekalan di 197 kawasan yang masih terjejas.

Elina Baseri berkata wilayah Kuala Selangor pulih sepenuhnya, Petaling (99 peratus), Kuala Lumpur (95.5 peratus) dan Hulu Selangor (82.6 peratus).

“Klang/Shah Alam pulih 61.8 peratus, Gombak (61.7 peratus) dan Kuala Langat (50 peratus),” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Elina berkata bantuan bekalan air alternatif melalui pili awam dan pusat khidmat setempat (PKS) masih disediakan untuk kemudahan pengguna yang tejejas.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki, PKS dan pili awam.

Maklumat bekalan air dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran Sungai Selangor mulai tengah malam semalam.

Kawasan-kawasan yang menerima air berperingkat selepas bekalan distabilkan seperti dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.