Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor giat modenkan pertanian, beri hasil berkualiti

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Negeri giat memodenkan pertanian supaya tanah yang terhad mampu memberi hasil berkualiti dan lumayan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM26.4 juta diperuntuk bagi menggalakkan teknologi fertigasi, hidroponik, teknik filem nutrien, kilang tanaman, teknologi persekitaran terkawal dan akuaponik tahun depan.

“Evolusi pertanian yang bermula daripada bercucuk tanam kini berkembang kepada pengaplikasian kaedah fertigasi, akuakultur dan dron.

“Penggunaan teknologi digital seperti teknologi internet untuk segalanya (IoT), analisis data raya dan kepintaran buatan mula digunakan secara meluas di seluruh dunia,” katanya di Facebook.

Beliau berkata penggunaan IoT akan diutamakan bagi memastikan sektor pertanian tidak ketinggalan daripada revolusi industri (IR4.).

Jelas Amirudin, strategi itu menjamin kelangsungan keselamatan makanan negeri ini walaupun tanah pertanian untuk pengeluaran produk tersebut hanya merangkumi 12 peratus daripada keseluruhan jumlah tanah di Selangor.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM26.4 juta untuk membangunkan sektor pertanian dengan menggariskan lima teras utama meliputi pertanian bernilai tinggi, mesra alam dan lestari, penggunaan IoT, pembangunan modal insan dan agropelancongan.

Langkah itu antara lain bagi memastikan golongan petani mendapat pulangan pendapatan lumayan dan menggalakkan lebih ramai menceburi sektor pertanian.