Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu kekal empat angka, catat kematian tertinggi

SHAH ALAM, 8 JAN: Sebanyak 16 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia hari ini, jumlah kematian tertinggi dicatatkan sejak pandemik melanda negara.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan keseluruhannya Malaysia merekodkan 537 kes kematian akibat wabak berkenaan atau 0.41 peratus daripada keseluruhan kes.

“Peningkatan kes kematian hari ini berikutan terdapat kes yang memerlukan tempoh tertentu untuk siasatan lanjut sebelum disahkan berpunca daripada Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 2,643 kes dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes 131,108 dengan 25,140 daripadanya merupakan kes aktif.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 6 Januari 2021. Foto BERNAMA

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan hanya dua kes import dicatatkan manakala selebihnya penularan dalam negara melibatkan warga tempatan (1,666 kes) dan warga asing (975).

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi sebanyak 1,086 kes (41.1 peratus) dengan 904 kes daripada kluster dan saringan kontak rapat diikuti Sabah (401) dan Johor (298).

Sebanyak 79 kes berkaitan kluster lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (tiga), Kluster Tembok Choh (dua) serta Kluster Tembok Gajah (satu),” kata Dr Noor Hisham.

Sementara itu, katanya, seramai 2,708 pesakit berjaya sembuh dengan bilangan pesakit pulih sebanyak 105,431 kes atau 80.4 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 170 kes Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.