Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Selangor anjur pertandingan sukan maya, sasar 300,000 peserta

SHAH ALAM, 15 JAN: Pertandingan Selangor Xtiv Virtual 2021 dijadualkan bermula pada Mac dengan menyasarkan 300,000 peserta dari dalam dan luar negara, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata penganjuran sukan secara maya seiring dengan kehendak golongan muda masa kini selain menjadi platform menonjolkan bakat e-sukan.

“Pertandingan yang julung-julung kali diadakan bermula Mei tahun lepas merekodkan lebih 180,000 penyertaan dan bilangan peserta ini di luar jangkaan kita.

“Selepas menerima sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan pertandingan pada tahun ini ,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pertandingan merangkumi Selangor Xtiv Virtual e-Sport, Selangor Xtiv Virtual Run, Selangor Martial Art Xtiv, Selangor Xtiv Fifa Pro Club dan Selangor Xtiv Virtual Youth Busking.

Ia menarik penyertaan dari negara luar antaranya Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun, India dan Amerika Syarikat.

Selangor satu-satunya negeri yang berjaya menganjurkan pertandingan program sukan secara maya berskala besar beserta hadiah.