Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntukan mesra rakyat tambah baik bank makanan Dusun Tua

SHAH ALAM, 22 JAN: Peruntukan mesra rakyat menerusi Pakej Kita Selangor akan digunakan bagi menambah baik program bank makanan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua.

Ahli Dewan Negerinya berkata bantuan RM100,000 dikhususkan kepada setiap DUN itu disambut baik dan tepat pada masanya bagi membela golongan terjejas.

“Peruntukan itu akan digunakan untuk tambah lagi bekalan makanan dalam premis Bank Makanan di Taman Pinggiran Delima selain memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini.

Beliau berkata ramai penduduk termasuk di DUN Dusun Tua dipercayai terjejas pendapatan susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

“Namun kita perlu akur dan bersama memerangi Covid-19 dengan terus patuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pakej bantuan khas, Pakej Kita Selangor dengan peruntukan RM100,000 kepada setiap DUN manakala RM50,000 kepada ahli parlimen bagi melaksanakan program mesra rakyat.