Categories
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor edar 3,000 baucar untuk petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 10 JAN: Sebanyak 3,000 baucar pelancongan Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! telah diagihkan kepada petugas barisan hadapan.

Tourism Selangor memaklumkan baucar bernilai RM200 setiap satu itu ditebus melalui aplikasi Lazada pada 8 Januari lalu.

“Agihan baucar ini sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, anggota polis dan tentera,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Tourism Selangor turut memaklumkan 2,000 baucar kepada orang awam turut habis ditebus melalui  platform dan pada tarikh sama.


“Program ini mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan penduduk Selangor dan luar. Bagi mereka yang terlepas masih boleh memperoleh menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet dengan 339,000 notifikasi dihantar kepada pengguna sah,” katanya.

Orang ramai yang menebus baucar pelancongan itu kemudiannya boleh membuat pembelian produk pelancongan menerusi Lazada.

Sebelum ini dilaporkan, bagi tujuan pemulihan industri pelancongan, Kerajaan Negeri melalui Pakej Rancangan Ekonomi Selangor Perihatin mengambil inisiatif dengan memperkenalkan subsidi baucar pelancongan dengan nilai terbitan sebanyak RM2 juta.

Pada masa sama, sebanyak RM2.9 juta pula diperuntuk bagi pelaksanaan program promosi dan acara pelancongan termasuk pelaksanaan Kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu’.