Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pengurusan tidak cekap, Selangor sedia ambil alih PPR Lembah Subang 1

PETALING JAYA, 3 FEB: Kerajaan Negeri sedia mengambil alih pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 bagi menangani isu ketidakcekapan yang menjejaskan ribuan penghuni.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata beberapa syarat perlu dipersetujui sebelum urusan itu diserahkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Rodziah Ismail menjelaskan pelepasan hak dalam bentuk memorandum meliputi penyelesaian kos, pembaikan dan naik taraf perumahan.

“Dokumen perjanjian juga perlu diwujudkan antara kerajaan persekutuan dan negeri bagi memelihara kepentingan kedua-dua pihak. Penamatan kontrak perlu dibuat dengan teratur bagi memastikan tiada kesulitan atau isu berbangkit,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau masalah penduduk di sini menambah program pemutihan sewa melibatkan kes tertunggak, penyewa tegar dan liabiliti juga harus diselesaikan.

“Selain itu, dokumen dan inventori berkaitan rekod penyewaan serta pengurusan perlu diserahkan kepada LPHS,” kata Rodziah lagi.

Penduduk sebelum ini mendakwa terpaksa hidup dalam sampah dan menghidu bau busuk hampir lima tahun berikutan kegagalan syarikat kontraktor mengurus sisa pukal.