Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor teroka produk tradisi, promosi ke pasaran luar

KUALA LANGAT, 7 FEB: Program Kita Ke Kampung diteruskan bagi mempromosi keunikan produk keluaran masyarakat tradisi ke pasaran luar, kata EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi.

Ini kerana, Borhan Aman Shah berkata banyak kampung bukan hanya menumpukan aspek kebudayaan, malah penghasilan seni kraftangan selain makanan seperti kopi, nenas dan kerepek.

“Saya yakin produk penduduk tempatan seperti ini mampu menjadi tarikan ramai jika program ini dijayakan melalui kerjasama berterusan dengan unit perancang ekonomi negeri (Upen) dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS),” katanya pada program edisi khas bersama media di sini semalam.

Borhan Aman Shah melihat hasil seni di Galeri Kraf Bunga Tekap ketika Program Kita ke Kampung Edisi Khas Kraf dekat Kampung Sungai Lang Tengah, Kuala Langat pada 6 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Wakil rakyat Tanjung Sepat berkata program itu juga selaras matlamat mengekalkan identiti sesebuah kampung di samping mengenal pasti peluang yang boleh ditawarkan kepada komuniti setempat.

“Contohnya, di Kampung Nelayan apa yang boleh dilakukan ialah mewujudkan sebuah rumah nelayan untuk lawatan orang ramai dan merakam foto.

“Kita juga mahu menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang keusahawanan misalnya membina sebuah bengkel di setiap kampung bagi memastikan kegiatan ekonomi berjalan,” katanya.