Categories
AGENDA NASIONAL

Adaptasi digital rancakkan khidmat kewangan dalam talian – BNM

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Perkhidmatan kewangan dalam talian pada tahun 2020 menunjukkan peralihan cepat ke arah penggunaan digital dengan urus niaga perbankan dalam talian meningkat 49 peratus menjadi 2.5 bilion transaksi berbanding 1.7 bilion transaksi yang dilakukan pada 2019.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2020 yang dikeluarkan hari ini berkata urus niaga e-dompet pula melonjak sebanyak 131 peratus kepada 600 juta tahun lepas.

“Secara purata, setiap orang di Malaysia membuat 170 urus niaga e-pembayaran berbanding 150 urus niaga pada tahun 2019 yang didorong oleh urus niaga dalam talian dan tanpa sentuh,” katanya.

Lebih ramai pedagang juga mendaftar untuk menerima e-pembayaran dengan jumlah pendaftaran pembayaran kod respon pantas (QR) meningkat sebanyak 164 peratus kepada 773,484 pada akhir tahun 2020.

BNM berkata bagi menyokong penggunaan perkhidmatan kewangan dalam talian yang kian meningkat, Dokumen Dasar mengenai Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (e-KYC) telah dikeluarkan pada Jun 2020, membolehkan pelanggan membuka akaun secara digital pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Sebagai gerbang ke arah pendigitalan, e-KYC diharapkan dapat membuka jalan untuk inovasi yang lebih besar dan penyediaan perkhidmatan kewangan digital secara menyeluruh.

“Beberapa institusi kewangan, termasuk institusi perbankan, pengeluar e-wang dan penyedia perkhidmatan pengiriman wang telah mula menerima pakai penyelesaian e-KYC, dan lebih banyak lagi institusi dijangka menyusul pada tahun 2021,” tambahnya.

Menurut BNM, ia juga telah mengeluarkan Dokumen Dasar mengenai Rangka Kerja Perlesenan Bank Digital pada 31 Disember 2020 yang dijangka mampu menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Menerusi penggunaan platform teknologi yang tangkas serta analisis data, bank digital dijangka dapat memperluas penawaran produk dan perkhidmatan perbankan yang lebih bersasar bagi menyelesaikan masalah pengguna Malaysia, terutamanya untuk segmen pengguna yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

“Bank akan menerima pakai rangka kerja kawal selia yang setara di samping menghendaki bank-bank digital untuk mematuhi had dedahan agregat aset pada tahun-tahun awal operasi,” kata BNM.

Sementara itu, BNM berkata tiga pengendali Platform Perdagangan Elektronik (ETP) global telah diluluskan pada tahun 2020 untuk memberikan perkhidmatan mereka sebagai pengantara dalam pasaran kewangan Malaysia.

“Perkembangan ini telah menyumbang kepada pendigitalan pasaran kewangan, sekali gus membantu meningkatkan pengaturan kerja dari jarak jauh semasa pandemik.

“Perdagangan melalui ETP mencakupi hampir 19 peratus daripada urus niaga perdagangan pertukaran asing tempatan berikutan pengendali ETP yang diluluskan telah memulakan operasi mereka,” katanya.

– BERNAMA