Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kanak-kanak berani buat saringan, anggap tidak sakit

SHAH ALAM, 15 MAC: Mahu memastikan dirinya bebas dari jangkitan Covid-19 mendorong seorang kanak-kanak menjalani saringan percuma di Seksyen 27, di sini semalam.

Muhammad Idren Haziq Mohd Isa, 10, mengakui dia gementar sebelum membuat ujian berkenaan berikutan bimbang prosesnya menyakitkan.

“Lepas buat rasa tidak sakit. Kalau kena buat lagi selepas ini pun saya tidak takut,” katanya yang hadir ditemani bapanya Mohd Isa Mohd Rashid.

Muhammad Idren Haziq Mohd Isa. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang warga Bangladesh Mahedi Hassan, 25, memaklumkan sudah empat kali membuat saringan bagi mengesan jangkitan virus.

“Sebelum ini pihak kilang yang uruskan tetapi kali ini saya datang secara sukarela untuk pastikan saya sihat,” katanya menambah semua hasil ujiannya negatif.

Semalam, dua Saringan Komuniti dijalankan serentak di Dewan Seroja MBSA, Seksyen 27 dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7 bagi mencegah penularan wabak.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.