Categories
AGENSI SELANGOR

Sabak Bernam kembali rekod sifar kes harian Covid-19

SHAH ALAM, 8 MAC: Sabak Bernam kembali merekodkan sifar kes baharu Covid-19 semalam berbanding satu pada Sabtu.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan ia mengulangi catatan daerah tersebut sebelumnya iaitu tanpa jangkitan lima hari berturut-turut sejak 1 Mac.

“Petaling pula kekal mencatat jumlah tertinggi dengan 283 kes diikuti Hulu Langat (166), Klang (117) dan Kuala Langat (102).

“Manakala empat daerah lain, Hulu Selangor merekod 23 kes, Kuala Selangor (21), Gombak (19) dan Sepang (14),” kata agensi itu menerusi Facebook.

Kes Covid-19 di Selangor pula kekal tiga angka dengan 746 iaitu 742 penularan tempatan, luar negara (satu) dan penjara (tiga) selain pertambahan dua kematian.

Sebanyak 1,683 jangkitan dikesan di seluruh negara semalam iaitu di bawah 2,000 kes selama dua hari berturut-turut menjadikan jumlah kumulatif 313,460.