Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 1,300 kes baharu, lima kematian

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Sebanyak 1,300 kes baharu Covid-19 dengan lima kematian direkodkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menerusi hantaran di laman media sosial Twitter rasmi memaklumkan daripada jumlah berkenaan, 1,276 kes membabitkan penularan tempatan manakala 24 kes merupakan kes import.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di negara ini berjumlah 353,329 dengan kes aktif 14,161.

Tiga negeri mencatatkan kes baharu Covid tertinggi iaitu Sarawak dengan 385 kes, diikuti Selangor (242) dan Kelantan (126).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 1,412 kes sembuh harian dicatatkan manakala sebanyak 189 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 88 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata 10 kluster baharu dikenal pasti, melibatkan lima kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kluster keagamaan.

Kluster tempat kerja membabitkan kluster Integrasi Rawang Tiga dan kluster Jalan Badli Shah di Selangor, kluster Jalan Maju (Sarawak), kluster Jalan Kota Kubang Labu (Kelantan) dan kluster Jalan Mega Industri (Johor).

Kluster komuniti pula adalah kluster Kampung Palekbang di Kelantan, kluster Taman Peruda (Kedah) dan kluster Kampung Belaoh (Terengganu).

Selain itu kluster pusat tahanan melibatkan kluster Padang Hijau di Johor serta kluster keagamaan iaitu kluster Belacon di Sabah.

– BERNAMA