Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jarak kediaman tentukan lokasi saringan Covid-19 warga sekolah

SUBANG JAYA, 25 APRIL: Lokasi Saringan Komuniti membabitkan warga sekolah ditentukan berdasarkan jarak dari kediaman individu positif Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu dapat membendung penularan wabak dalam kalangan masyarakat setempat. Penentuan lokasi dijangka diterima esok.

“Jumaat lepas ada mesyuarat dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara) berhubung kes di sekolah. Jika libatkan asrama, ia mudah kerana boleh kepung tetapi sukar untuk sekolah harian.

“Jadi, kes melibatkan sekolah, kita tidak tengok pada intitusi itu sahaja sebaliknya komuniti. Kita lihat radius, siapa yang kena, tinggal dekat mana,” katanya selepas merasmikan laluan pejalan kaki di Taman Permainan USJ 13/2, dekat sini hari ini.

Menurut Amirudin, langkah terbabit juga dibuat selepas menerima laporan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung jangkitan pandemik itu terhadap anak kakitangannya.

“MBSA lakukan saringan kepada anak kakitangan yang sekolahnya ditutup. Daripada 10 yang disaring, dua didapati positif. Maknanya jika dibiarkan, ia beri kesan kepada MBSA.

“Jadi kita lihat perkara ini sangat serius dan saringan dalam komuniti perlu dilakukan segera. Pelajar mungkin kurang berisiko sebab kadar ketahanan tinggi tetapi bagaimana dengan guru yang menghidap sakit kronik,” katanya.

Minggu ini, beberapa sekolah ditutup selain Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat sehingga 7 Mei selepas 71 pelajar disahkan positif Covid-19.