Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jawatankuasa rayuan tamatkan darurat serah surat, mohon menghadap Agong

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat hari ini menghantar surat kedua kepada Istana Negara memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah memorandum mendesak darurat ditamatkan.

Difahamkan surat berkenaan, yang diserahkan Pengerusi jawatankuasa itu Khalid Abdul Samad bersama-sama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim pada kira-kira 3.30 petang.

Turut hadir di pekarangan Pintu 3 Istana Negara ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Presiden Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Bercakap kepada pemberita, Khalid berharap permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dapat diberi pertimbangan.

Pengarah Komunikasi Amanah itu mendakwa pengisytiharaan darurat telah membawa kesan buruk daripada pelbagai sudut terutama ekonomi dan kestabilan politik.

“Kami tuntut darurat ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang seperti biasa,” kata beliau sambil menambah jika permohonan itu tidak mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah, pihaknya akan sekali lagi menghantar surat permohonan beserta bahan bukti tambahan yang perlu.

Surat permohonan menghadap yang pertama diserahkan pada 26 Mac lepas.

– BERNAMA