Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Juara tilawah Selangor luang 15 minit baca al-Quran setiap hari

SHAH ALAM, 10 APRIL: Johan qari tilawah al-Quran Selangor mengakui berdepan kesukaran menjalani latihan mengaji mengikut norma baharu susulan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Syamsul Abu Hasan Alshaari tidak menjadikan perkara itu sebagai masalah sebaliknya satu semangat mengejar kejayaan.

Kakitangan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu berkata mengikut kelaziman, peserta layak menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran (MTHQ) akan dipanggil berkursus serta latihan membaca untuk melancarkan lagi bacaan.

“Tahun ini agak berbeza kerana semuanya berlangsung dalam talian. Cara ini kurang berkesan berbanding secara bersemuka kerana kita sukar melihat kesalahan serta kekurangan bacaan.

“Jadi, saya ambil inisiatif sendiri. Setiap hari saya luangkan kira-kira 15 minit untuk baca al-Quran dan baiki kelemahan…alhamdulillah usaha saya tidak sia-sia,” katanya kepada SelangorKini.

Khamis lalu, Syamsul, 37, diumumkan juara kategori tilawah selepas menewaskan enam qari lain sekali gus melayakkan beliau mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan pada Jun nanti.

Sebelum ini pada 2013, bapa empat anak berusia satu hingga sembilan tahun ini pernah menjulang kejayaan sama.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Air Selangor serta rakan setugas yang sentiasa memberi kerjasama sepanjang membuat persediaan.

“Selepas dimaklumkan mewakili Petaling pada Oktober tahun lalu, saya terus berlatih. Bila kena kursus, rakan setugas banyak bantu selesaikan kerja malah kepimpinan Air Selangor turut memberi sokongan,” katanya.

MTHQ diadakan selama dua hari pada 6 hingga 8 April di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan dilangsungkan mengikut norma baharu termasuk jumlah penonton yang terhad.

Kategori qariah menobatkan Sofizah Mousin sebagai juara. Kedua-dua mereka membawa pulang sepersalinan pakaian, piala, sijil serta wang tunai RM5,000.