Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB beli juadah, santuni peniaga dan pengunjung bazar Ramadan

BATU CAVES, 14 APRIL: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa membeli juadah di Bazar Ramadan Taman Greenwood di sini petang tadi.  

Dato’ Seri Amirudin Shari tiba pada jam 5.50 petang diiringi isteri Datin Seri Masdiana Muhamad sebelum mengimbas kod QR MySejahtera dan menyukat suhu badan.

Menariknya, mereka membawa bekas mangkuk tingkat sepanjang berbelanja di bazar terbabit dan antara juadah dibeli adalah ayam percik, lemang, rendang, pengat pisang dan bumbur lambuk.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua juga dilihat beramah mesra dengan menyapa penjual serta pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar bersamanya.

Dalam lawatan kira-kira 20 minit, pemimpin nombor satu negeri itu turut mengagihkan kurma kepada peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan yang beroperasi dari 3 petang hingga 7 petang.

Selasa lalu, Amirudin mengarahkan pihak berkuasa memantau ketat operasi bazar Ramadan bagi mencegah perebakan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu.

Beliau berkata bilangan peniaga dikurangkan kepada 11,000 berbanding 14,000 orang pada 2019 mengikut amalan norma baharu.

Kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara tahun ini selepas mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.