Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RiDE: Yakin capai sasaran 3,000 peserta tahun ini

AMPANG, 26 APRIL: Kerajaan Negeri yakin sasaran 3,000 peserta berdaftar dalam program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) mampu dicapai menjelang akhir tahun ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata ia susulan sambutan menggalakkan apabila lebih 500 individu menerima manfaat tersebut setakat ini.

“Mereka yang terlibat dengan aktiviti penghantaran makanan diminta mengambil segera peluang ini kerana kita menawarkan pemberian RM500,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pelancaran Kawah Ramadan Team Selangor (KaRaTS) di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini semalam.

Terdahulu, Khairuddin merasmikan pelepasan 10 peserta Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) yang dianggotai Helang Motor Club Team Selangor.

Sementara itu, wakil rakyat Paya Jaras berkata pihaknya akan mengembangkan program RiDE kepada golongan belia di kawasan luar bandar.

Menurutnya, peluang untuk terlibat dalam program ekonomi gig harus diberi kepada masyarakat di kawasan berkenaan bagi menjana pendapatan.

“Ada daerah seperti di Sabak Bernam dan Tanjong Karang masih kekurangan program e-panggilan, jadi kita mahu bawa program ini ke sana,” katanya.

Pada 14 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,980 individu mendapat manfaat program itu sejak dilancarkan 1 Ogos tahun sama.

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Program RiDE diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM2 juta.

Mereka yang berminat boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my.