Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM1.7 juta laksana I-SEED, bantu perkasa usahawan India

SHAH ALAM, 7 APRIL: Sebanyak RM1.7 juta diperuntuk Kerajaan Negeri menerusi program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED), kata EXCO pembangunan sosio-ekonomi.

V Ganabatirau berkata program bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan.

“Kita mengalu-alukan masyarakat India golongan berpendapatan rendah (B40) seawal usia 25 tahun ke atas yang baharu atau telah memiliki perniagaan untuk memohon dana I-SEED ini.

“Permohonan boleh dibuat menerusi ketua komuniti atau ketua kampung masing-masing. Mereka yang layak akan diberi bantuan peralatan maksimum RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED) di Dewan Annexe di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Norita Mohd Sidek dan Timbalan Pengarah Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi, Muhammad Heeza Hassan.

Pada masa sama, Ganabatirau berharap penerima bantuan I-SEED memberi kerjasama baik dan menjalankan prniagaan dengan penuh integriti.

“Kita akan menilai peniaga yang layak dan akan turun ke kawasan untuk memastikan mereka benar-benar mempunyai perniagaan dan tidak menyalahgunakan peralatan diberi,” tambahnya.

Antara syarat kelayakan memohon I-SEED adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.

Selain itu, perniagaan perlu aktif dan konsisten, pemohon atau pasangan (suami/isteri) tidak pernah terima bantuan peralatan di bawah program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor atau program Dana Usahawan Mikro Selangor.