Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan bersasar di Petaling, elak gelombang keempat Covid-19

KLANG, 21 APRIL: Kerajaan Negeri menfokuskan saringan Covid-19 bersasar di Petaling susulan penutupan sekolah daerah tersebut.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu untuk mengesan pembawa virus dalam komuniti sekali gus mengekang gelombang keempat wabak.

“Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Ahad bersetuju untuk melaksanakan saringan bersasar di kawasan berisiko tinggi mencetus gelombang wabak.

“Kerajaan Negeri berharap usaha ini membantu jabatan kesihatan mengesan awal pembawa virus untuk diasingkan segera, kita sebolehnya tidak mahu ada gelombang keempat atau kelima,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Klang di Masjid Al-Ansar, Kapar sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor Daerah Klang semalam.

Pada majlis itu setiap 42 masjid di daerah Klang menerima sumbangan berjumlah RM10,000.

Sebanyak 19 sekolah di Selangor ditutup selama tujuh hari mulai semalam bagi mengekang perebakan Covid-19.

Tindakan itu merupakan cadangan Kerajaan Selangor kepada Kementerian Pendidikan berikutan peningkatan kes melibatkan warga sekolah.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.