Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Satu guru pantau lima murid, pastikan mahir 3M

KLANG, 18 APRIL: Seorang guru bertanggungjawab memantau lima murid yang mengalami masalah pembelajaran melalui program Sinar Ilmu Harapan Sentosa.

Pengarah projeknya berkata kelas percuma selama tiga bulan memerlukan kaedah berbeza berikutan golongan tersebut tidak mahir menulis, membaca dan mengira (3M).

“Kalau sekadar hendak membaca dan menulis, ia tidak boleh membantu mereka, justeru kita gunakan pelbagai deria dengan mata mesti memandang, telinga mesti mendengar dan tangan mesti merasa.

Pengarah projek Sinar Ilmu Harapan Sentosa Dr R Uma Rani

“Jadi apabila dia sebut mata memandang, telinga mendengar dan tangan itu ada aktiviti jadi perkara ini akan simpan dalam otak mereka dan dibuat berulang kali,” kata Dr R Uma Rani.

Inisiatif anjuran pusat khidmat DUN Sentosa menyasar seramai 30 murid untuk mengikuti kelas terbabit pada setiap Sabtu.

Uma Rani yang juga setiausaha Persatuan Dyslexia Selangor mengakui berdepan cabaran berikutan ada murid yang bersekolah selama enam tahun tidak tahu menulis nama sendiri.

Sementara itu, beliau berkata prestasi murid akan dipantau selepas tiga bulan dan kelangsungan program bergantung kepada wakil rakyatnya Dr G Gunarajah.

“Di sini kita buat kelas antara dua hingga tiga jam secara percuma berbanding kelas terapi di luar yang mencecah kos RM250 selama sejam,” katanya.