Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

2,233 disyaki positif, hampir 51,000 sertai saringan percuma

SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 2,233 individu disyaki positif Covid-19 hasil Saringan Komuniti antara 8 hingga 26 Mei, kata Dato’ Menteri Besar.

Berdasarkan angka dikongsi Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter, jumlah itu sebahagian 50,898 peserta saringan di 26 lokasi.

Rekod Dato’ Menteri Besar menunjukkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya melaporkan peserta tertinggi dengan 5,096 orang.

Bagaimanapun, hanya 130 individu disyaki positif di kawasan itu, lebih rendah berbanding DUN Seri Setia yang mencatat 177 kes melalui 2,445 saringan.

Kes terendah direkodkan di DUN Dusun Tua pada 10 Mei iaitu 13 kes. Semua saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan secara aktif melalui Saringan Komuniti di seluruh 56 DUN antara 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.