Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes wabak di Petaling turun mendadak

SHAH ALAM, 15 MEI: Jangkitan harian Covid-19 di Petaling turun ketara apabila merekodkan 379 kes semalam, berbanding 871 kes kelmarin.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata sebanyak 167 kes dilapor di mukim Petaling, Damansara (126), Sungai Buloh (60) dan Bukit Raja (26).

“Hulu Langat mencatat kes tertinggi iaitu 390 manakala daerah lain Klang (173), Gombak (158), Kuala Langat (71), Hulu Selangor (43), Kuala Selangor (32), Sepang (14) dan Sabak Bernam (9).

“Secara keseluruhan sebanyak 1,269 kes dilapor di Selangor hari ini (semalam) dengan kesemua melibatkan penularan tempatan,” tulis agensi itu di Facebook.

Selangor mencatatkan 150,881 kes sejak pandemik menular dengan 634 daripadanya jangkitan luar negara.