Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 2,000 individu hadir saringan percuma di Gombak Setia

SHAH ALAM, 20 MEI: Seramai 2,027 individu hadir menyertai program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Beringin Gombak Setia semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata angka itu merupakan yang terbesar pernah dicatatkan sejak program tersebut dilaksana di negeri berkenaan.

“Daripada jumlah itu kemungkinan mereka yang positif adalah lapan peratus. Malah, dengan ujian saringan ini juga kita berjaya mengesan mereka yang dijangkiti mungkin tiada gejala atau ‘pembawa senyap’,” katanya di Facebook.

Menurutnya, maklum balas individu yang hadir ke program tersebut turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Amirudin turut meluangkan masa meninjau program saringan itu yang diadakan serentak di Gombak Setia dan Dewan Seri Siantan Sungai Tua.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.