Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 141 individu disyaki positif Covid-19 di Kinrara, Seri Serdang

SHAH ALAM, 23 MEI: Seramai 141 individu berkemungkinan positif Covid-19 melalui dua Saringan Komuniti di dua lokasi sekitar daerah Petaling semalam.

Mengikut data dikongsi Dato’ Menteri Besar, sebanyak 66 kes atau 2.71 peratus membabitkan ujian di Kinrara manakala 75 kes atau 3.03 peratus di Seri Serdang.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, seramai 2,435 individu menyertai saringan percuma manakala di DUN Seri Serdang, seramai 2,473 individu turut serta.

“Semakin ramai sedar usaha ini adalah untuk putuskan rantaian wabak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Beliau berkata saringan itu juga menunjukkan sebanyak 97.29 peratus atau 2,369 orang di Kinrara negatif sementara Seri Serdang 96.97 peratus atau 2,398 orang tidak dijangkiti.

Kelmarin, Amirudin berkata sebanyak 1,171 kes dikesan hasil saringan di 14 kawasan sekitar Hulu Langat dan Gombak sejak 8 Mei.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh negeri hingga 10 Jun yang memanfaatkan rakyat berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

Sumber Facebook Amirudin Shari