Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Manfaat waktu perayaan Hari Wesak daftar terima vaksin

SHAH ALAM, 26 MEI: Dato’ Menteri Besar menyeru orang ramai manfaatkan waktu perayaan Hari Wesak hari ini dengan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin Covid-19 demi kesihatan dan keselamatan semua.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata anak-anak juga digalak menggunakan peluang berbicara dan menyakinkan ibu bapa mengenai kepentingan mengambil vaksin.

“Seperti maksud asal Wesak yang melambangkan ‘enlightenment’ kepada komuniti Buddha, saya percaya vaksin membawa erti kata yang sama dalam usaha rakyat Selangor dan Malaysia memerangi wabak Covid-19.

“Saya menyeru anak-anak yang mempunyai akses kepada teknologi dan maklumat untuk berbicara dan meyakinkan ibu bapa pentingnya mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya menerusi perutusan sempena perayaan Hari Wesak hari ini.

Dalam perutusan itu, Amirudin juga memaklumkan Kerajaan Negeri menganjurkan program ImuniSel sebagai pelengkap kepada inisiatif vaksinasi kerajaan persekutuan.

“ImuniSel dirangka bagi membantu warga yang tidak mempunyai akses kepada peranti serta perkhidmatan internet agar mereka dapat didaftarkan untuk menerima vaksin,” katanya.

Tambah Amirudin, Selangor mengambil langkah berasaskan data dan sains mengikut saranan pakar kesihatan awam bagi mengawal perebakan wabak.

“Sehingga kini, hampir 40,000 warga Selangor telah disaring secara percuma dengan penggunaan pendekatan yang menjadikan data dan sains sebagai fulkrum kesihatan awam,” katanya.