Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Peniaga bazar Ramadan terjejas PKP dapat bantuan RM500

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM500 kepada penjaja bazar Ramadan yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agihan kepada kira-kira 11,000 penjaja membabitkan peruntukan RM5 juta bagi meringankan beban mereka.

“Menyedari masalah melanda peniaga ini, Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan akan membantu mereka mendaftar dan (bantuan) diagihkan selepas Aidilfitri,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Amirudin berkata bantuan tersebut juga bagi menanggung keresahan peniaga akibat penutupan bazar Ramadan mulai 8 Mei.

Enam daripada sembilan daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 6 hingga 17 Mei. Daerah tersebut ialah Petaling, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sepang.