Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPS pegang teguh dasar NDPE bangunkan tanah tani

SHAH ALAM, 27 MEI: Hab sekuriti makanan di Changkat Menteri, Sabak Bernam didirikan mengikut prinsip NDPE iaitu tiada penebangan hutan, penanaman di tanah gambut dan eksploitasi.

Bagaimanapun, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata projek rintis di tapak Selangor Smart Agro Park (SSAP) itu belum bermula kerana mahu memastikan segala syarat dipatuhi.

“Kami beri jaminan segala kehendak dasar NDPE akan dipatuhi secara telus dan teliti.

“PKPS juga akan terus bekerjasama dengan agensi lain serta pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan ekosistem dan habitat di kawasan SSAP terpelihara,” kata perbadanan menerusi kenyataan.

PKPS menjelaskan projek tersebut adalah perancangan Kerajaan Selangor dalam memastikan jaminan bekalan makanan di negeri ini terjamin.

Pada 26 Mac, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan projek pertanian atas tanah seluas 2,400 ekar milik PKPS bagi memastikan kelangsungan bekalan di seluruh negeri.

Antara tanaman yang bakal diusahakan ialah jagung, pisang, cili, nenas dan kelapa.

Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang dibentang pada 13 Julai 2020 menekankan tiga tonggak utama dalam menangani dampak Covid-19.

Usaha meliputi jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan dengan nilai ekonomi berjumlah RM55.85 bilion.

Langkah-langkah tersebut meliputi:

1. Menambah pembukaan kawasan pertanian di atas tanah milik kerajaan dengan mewartakannya serta
penggunaan tanah yang belum dimajukan

2. Meningkatkan aktiviti pengeluaran di Kawasan Tanaman Kekal Pertanian Makanan (TKPM)

3. Memperkasa PKPS dalam aktiviti pertanian makanan dan menjadi peneraju utama sektor pertanian makanan di Selangor

4. Meningkatkan jumlah insentif kepada agropreneur seperti input pertanian, baka ternakan dan peralatan khususnya golongan nelayan

5. Menggiatkan kaedah pertanian moden seperti fertigasi, hidroponik dan akuaponik, projek tanaman bertingkat dan penggunaan teknologi seperti dron, sensor dan aplikasi dalam talian