Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tahap kesedaran bertambah, makin ramai buat saringan

KAJANG, 8 MEI: Tahap kesedaran orang ramai untuk mencegah penularan Covid-19 semakin meningkat apabila seramai 811 individu menyertai saringan percuma di sini hari ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata jumlah itu naik lebih dua kali ganda berbanding sekitar 300 orang pada program sama yang dijalankan sekitar daerah itu sebelum ini.

Mohd Noor Md Nasir menjelaskan bilangan peserta tersebut hanya membabitkan pradaftar, tidak termasuk yang hadir terus (walk-in) di lokasi.

“Dalam tempoh PKP 3.0 (Perintah Kawalan Pergerakan) jumlahnya semakin tinggi dan ini menunjukkan kesedaran orang ramai semakin meningkat bersesuaian dengan dekatnya Hari Raya Aidilftiri.

Orang ramai beratur bagi mendaftar sebelum melakukan Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bila mereka buat saringan, tahu status kesihatan jadi dapat mengelak berlakunya titik permulaan penyebaran…jadi masing-masing berasa lebih selamat,” katanya.

Beliau ditemui pada hari pertama Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian. Selain Kajang, ujian turut berlangsung di Semenyih.

Mohd Noor berkata pihaknya bersedia menerima sehingga 1,500 peserta meskipun sasaran saringan setiap tempat hanya untuk 500 individu.

“Setiap lokasi kita tempatkan sehingga 20 kakitangan Selcare untuk bertugas dan pada hari ini di kedua-dua lokasi kita ada 40 kakitangan yang akan bertugas,” katanya.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma untuk membendung penularan wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah.