Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Taman Medan positif Covid-19

SHAH ALAM, 18 MEI: Wakil rakyat Taman Medan disahkan positif Covid-19 hari ini setelah berasa tidak sihat ketika cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata ahli keluarga yang lain turut dijangkiti virus itu selepas mereka membuat saringan semalam, lapor Malaysiakini.

“Semasa raya, saya demam, batuk, dan selesema. Hari ini saya rasa lebih baik berbanding raya.

“Isteri saya, ibu mentua, dan dua anak saya juga positif; kami tinggal di rumah yang sama. Tolong doakan kami sembuh,” katanya yang kini menjalani kuarantin di rumah.

Sementara itu, Syamsul Firdaus berkata beliau antara wakil rakyat yang menerima vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurutnya, dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech diterima pada 10 Mac manakala dos kedua pada 31 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata individu yang sudah menerima dos lengkap vaksin masih perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).