Categories
AGENSI SELANGOR

Wanita sarat mengandung gagahkan diri jalani saringan Covid-19

PETALING JAYA, 24 MEI: Meskipun sarat mengandung tujuh bulan, namun Hamizah Abd Hamid menggagahkan diri hadir ke Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan di sini semalam untuk menjalani saringan Covid-19.

Suri rumah berusia 33 tahun itu menuju ke lokasi tersebut iaitu kira-kira tiga kilometer dari kediamannya di Flat Desa Mentari dengan menunggang motosikal disertai dua kakak ipar menggunakan kenderaan sama pada jam 9 pagi.

Hamizah Abd Hamid, 33. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata dia mengambil kesempatan pertama kali itu selepas melihat iklan di Facebook Kerajaan Selangor dengan memikirkan soal kesihatan diri dan anak dalam kandungan dengan kes Covid-19 ketika ini amat merisaukan.

“Pegawai bertugas memberi keutamaan kepada saya dan tidak perlu menunggu lama. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan berterima kasih kepada penganjur serta petugas perubatan kerana memudahkan golongan memerlukan,” katanya kepada Selangorkini.

Hamizah antara ribuan penduduk sekitar Petaling Jaya yang menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri melalui kendalian Klinik Selcare.

Sementara itu, Noraini Ibrahim, 50, membawa ibu warga emas dengan menolak kerusi roda melakukan ujian tersebut sebagai langkah keselamatan berikutan salah seorang ahli keluarga disahkan positif Covid-19.

Beliau yang menetap di Pantai Dalam, Kuala Lumpur mahu memastikan Sawiyah Akhir, 97, bebas daripada jangkitan wabak memandangkan kelompok usia itu berisiko tinggi.

“Dalam rumah ada orang tua, sebab itu saya bimbang dan terus datang buat saringan dan selepas dapat keputusan kita boleh duduk rumah kerana tidak mahu menjangkiti orang lain,” katanya turut melakukan ujian bersama suami dan tiga anaknya.

Shahrul Hamimi Shaharuddin, 54. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi Shahrul Hamimi Shaharuddin, 54, pula beliau mengambil peluang itu kerana kerjayanya sebagai pengawal peribadi yang sering ke satu-satu kawasan setiap hari dan bertemu individu berbeza.

“Sudah banyak kali saya lakukan saringan, kadang-kadang dua kali dalam tempoh sebulan. Covid-19 ini tidak dapat dilihat, jadi memang kena selalu buat sebab tiada kemudaratan pun.

“Jika diikutkan saya mahu ke Taman Medan esok memandangkan tinggal di kawasan berhampiran namun disebabkan cuti hari ini saya manfaatkan peluang hadir ke sini bersama isteri,” katanya.