Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Dua juta dos vaksin untuk majikan kawal kluster tempat kerja

SHAH ALAM, 30 JUN: Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi mengawal dan melindungi semua pihak memandangkan sejumlah besar kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sebanyak 91 peratus atau 125 kluster tempat kerja dikesan sepanjang Jun dengan 80 peratus membabitkan kilang, manakala baki berkait kluster tapak binaan.

“Dengan memberikan vaksin kepada pekerja kilang dan industri, kita dapat mengawal dan mengurangkan kadar perebakan Covid-19, secara tidak langsung akan melindungi kita semua.

“Bagaimanapun, Selvax Industri hanya terbuka kepada syarikat dan tidak dijual kepada individu,” katanya dalam pengumuman khas secara maya hari ini.

Amirudin berkata usaha itu melengkapkan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat persekutuan yang mendapat sambutan memberangsangkan.

Jelasnya, antara syarikat besar yang menyertai inisiatif itu ialah 99 Speed Mart, Ernst & Young, Telekom Malaysia, Touch n Go dan syarikat binaan EcoWorld dan Tropicana.

“Penting untuk dinyatakan di sini, syarikat yang mengambil bahagian tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang kos ke atas pekerja mereka.

“Ini termaktub dalam perjanjian dan borang persetujuan. Tindakan undang-undang boleh diambil kepada majikan yang mengenakan caj bayaran kepada pekerja,” katanya lagi.

Pada 15 Jun, Amirudin berkata pemberian vaksin ditumpukan kepada pekerja industri bagi mengelakkan virus merebak kepada masyarakat berikutan sektor itu masih mencatat jangkitan tinggi.

Beliau menjelaskan sektor tersebut perlu diberi perhatian berikutan mereka penyumbang utama kepada perebakan virus.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.