Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Gombak Setia sedia dua bugi angkut peserta saringan

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebanyak dua kenderaan ringan bugi (buggy) disediakan untuk kemudahan peserta Saringan Komuniti di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak pada Ahad ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi berkata kira-kira 100 sukarelawan juga membantu proses ujian bagi melancarkan program percuma itu antara 9 pagi hingga 8 malam.

“Kemudahan bugi itu disediakan oleh Templer Park Country Club. Jika ada penduduk yang mahu hadir tapi ada kekangan pengangkutan, kita akan pertimbang sediakan kenderaan,” katanya.

Beliau menambah risalah memuatkan nombor telefon pusat khidmat turut diedar bagi memudahkan mereka berurusan termasuk kemungkinan kuarantin atau bantuan lain.

Saringan fasa tiga anjuran Kerajaan Selangor bermula esok membabitkan DUN Seri Setia dan Taman Medan diikuti Sungai Tua, Gombak Setia serta Taman Templer, Gombak pada Ahad.

Program sama diteruskan di Kajang pada 26 Jun manakala Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM10.7 juta untuk menjayakan program berkenaan dengan tumpuan di kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.