Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO rancang beri bantuan makanan, vitamin untuk lebih 18,000 penduduk kampung

SHAH ALAM, 17 JUN: Kerajaan Negeri merancang memberi barangan asas dan makanan tambahan kesihatan kepada 18,550 penduduk daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di 371 kampung.

EXCO pembangunan luar bandar kampung tradisi berkata kertas kerja cadangan itu akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu depan.

“Mengikut perancangan kita pilih 30 hingga 50 keluarga B40 di setiap kampung untuk diberi bakul makanan mengandungi barangan asas serta kesihatan.

“Kita rancang beri vitamin untuk kanak-kanak sebagai persediaan berdepan penularan wabak,” kata Borhan Aman Shah ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan penghujung bulan ini atau awal Julai sekiranya MMKN meluluskan cadangan berkenaan.

“Kerajaan Negeri prihatin dan menyalurkan bantuan seperti RM5,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menyediakan keperluan asas kepada penduduk terjejas pendapatannya akibat Covid-19.

“Dalam Pakej Kita Selangor 2.0 juga diumumkan peruntukan wakil rakyat dinaikkan RM50,000 bagi program mesra rakyat dan ini termasuk menyediakan bakul makanan kepada penduduk kampung,” katanya.