SEPANG, 2 JUN: Lebih 81,000 individu menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor sejak 8 Mei hingga semalam.
Pengurus Klinik Selcare berkata daripada jumlah itu didapati hampir 3,000 peserta disahkan positif menerusi saringan menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag).
“Majoriti mereka yang hadir iaitu 70 peratus adalah dalam linkungan usia 20 hingga 40 tahun diikuti kanak-kanak dan warga emas.
“Manakala kumpulan yang positif pula rata-ratanya tiada gejala. Tindakan orang awam hadir ujian ini langkah terbaik untuk mengelak daripada menjadi penyebar virus,” kata Mohd Noor Md Nasir.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Saringan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Dewan Orang Ramai Serin, Cyberjaya di sini hari ini.
Pada masa sama, Md Noor berkata Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 tidak menjejaskan kehadiran orang awam sebaliknya tetap ramai walaupun pada hari bekerja.
Menurutnya, jumlah pradaftar setakat jam 12 tengah hari tadi di DUN tersebut seramai 4,409 manakala 832 di DUN Sungai Pelek.
“Alhamdulillah bermula jam 9 hingga 10 pagi sudah lebih 500 orang disaring iaitu mencapai jumlah sasaran dalam tempoh sejam,” katanya.
Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.
Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.