Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Lebih 100,000 penduduk Selangor sertai saringan percuma

SABAK BERNAM, 10 JUN: Lebih 100,000 penduduk Selangor hadir melakukan Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri sejak diperkenal tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah berkenaan membabit dua fasa dengan kedua-duanya melebihi jangkaan yang disasar.

“Pada masa pertama iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga PKP 2.0 kita telah menyaring lebih 26,000 orang dan bagi fasa berikutnya sehingga hari ini kita telah saring 97,565 orang.

Orang ramai beratur menunggu giliran untuk menyertai Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Serbaguna Kuang, Gombak pada 21 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jika dicampur dengan 26,000 yang telah disaring ia melebihi 100,000 iaitu sudah melampaui sasaran yang ditetapkan iaitu pada fasa pertama 20,000 dan fasa kedua kita sasar 50,000,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Dewan Seri Sekinchan di sini, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.

Mengenai perancangan Saringan Komuniti bagi fasa berikutnya, Amirudin berkata ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat dengan sasaran di lokasi mempunyai jangkitan yang tinggi.

“Kita sasar DUN yang mempunyai kadar melebihi lima peratus antaranya di Gombak yang kita dapati sampai mencecah lapan peratus kadar jangkitannya. Kita akan lakukan ‘follow up’ jangkitan itu di kawasan mana.

“Kalau ada keupayaan dan perlu rumah ke rumah kita akan laksanakan selain kita juga akan ‘ambush’ kawasan industri dengan membuat saringan di kilang-kilang,” katanya.

Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di 56 DUN sejak 8 Mei hingga hari ini.

Sehingga Selasa lalu, sebanyak 95,561 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil dengan 3,330 daripadanya disyaki positif Covid-19.