Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rai ulang tahun ke-15, MB harap MBPJ terus pacu kejayaan (VIDEO)

SHAH ALAM,22 JUN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat maju jaya kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan ulang tahun ke-15.

Menerusi ucapan di Facebook, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu meraikan statusnya sebagai bandar raya mulai Jun 2006.

“Semoga MBPJ terus sukses berkembang menjadi salah satu pemangkin kepada kemajuan negeri dan negara. Selamat maju jaya kepada MBPJ,” katanya dalam paparan keratan video.

Petaling Jaya mula dibuka pada 1952 dan mengalami evolusi pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi pesat sehingga kini. Statusnya dinaik taraf daripada perbandaran ke bandar raya pada 20 Jun 2006.

Sempena ulang tahun ke-15, MBPJ menzahirkan inisiatif sosial menerusi pelaksanaan pelbagai program memperkasa masyarakat bertemakan PJ Prihatin Komuniti Sejahtera.

Antara pencapaian terbesar PBT itu ialah perkhidmatan bas percuma-PJ City Bus, Beg Karung Kitar, Geran Komuniti-PJ Seed, PJ City Food Bank dan kebun bandar..