Categories
AGENSI SELANGOR

Selcare jangka peserta Saringan Komuniti hujung minggu ini lebih ramai

SHAH ALAM, 21 JUN: Jumlah penyertaan orang ramai dalam program Saringan Komuniti fasa tiga hujung minggu ini dijangka lebih ramai, kata pengurus Klinik Selcare.

Menurut Mohd Noor Md Nasir, pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa sedang giat mempromosi program berkenaan.

“Kita sasarkan kehadiran pada saringan seterusnya akan lebih baik memandangkan pihak pusat khidmat terbabit mempunyai masa yang panjang membuat hebahan kepada umum,”katanya.

Pada Sabtu dan Ahad lalu bermula program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri fasa tiga di DUN Seri Setia, Taman Medan, Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer.

Menerusi program di lima DUN itu, sebanyak 2,702 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) diambil.

Saringan diteruskan di DUN Kajang pada Sabtu, Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa keesokan harinya serentak mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai boleh membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari http://screening.selangkah.my/login.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Kerajaan Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan program fasa tiga itu dengan menumpukan kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.