Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

2,000 penduduk DUN Tanjung Sepat daftar terima vaksin Selangor

SHAH ALAM, 11 JULAI: Seramai 2,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat mendaftar untuk menerima suntikan pelalian melalui Program Vaksin Selangor (Selvax).

Ahli Dewan Negeri Borhan Aman Shah, berkata jumlah itu diterima sejak pendaftaran dibuka pada 5 Julai hingga hari ini.

“Masih terdapat 500 kekosongan dan saya telah memaklumkan kepada ketua kampung supaya lebih banyak senarai penerima untuk didaftarkan menerusi pusat khidmat masyarakat.

“Dengan bantuan ketua kampung dapat mengelakkan nama penerima didaftar di kawasan yang jauh dari tempat tinggal untuk mendapatkan vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Borhan yang juga EXCO pembangunan luar bandar kampung tradisi berkata beliau juga bercadang mahu menggabungkan program vaksin ini bersama DUN Banting dan Morib.

“Cadangan ini adalah kerana kawasan pentadbiran DUN Tanjung Sepat banyak di kawasan Kuala Langat selain memudahkan pergerakan penerima vaksin,” katanya.

Selvax dilancarkan Kerajaan Selangor bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan vaksin penduduk.

Maklumat berkaitan Selvax boleh layari https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.