Categories
AGENDA NASIONAL

207 kes maut akibat Covid-19, tertinggi sejak pandemik

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini sejak penularan Covid-19 di negara ini dengan 207 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 8,201 kes atau 0.80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kes kematian itu membabitkan 184 warganegara, manakala 23 lagi warga asing sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi sebelum ini yang dilaporkan pada 21 Julai iaitu 199 kematian.

Sementara itu, jumlah individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) setakat ini 1,009 orang dengan 524 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Jumlah kes sembuh dalam tempoh 24 jam lepas adalah 9,372, menjadikan jumlah kumulatif 853,913 kes atau 83.1 peratus, manakala kes aktif kini sebanyak 165,840 kes,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

-BERNAMA