Categories
AGENDA NASIONAL

Delta paling banyak di Sarawak, Selangor hanya catat 17 kes

SHAH ALAM, 23 JULAI: Selangor merekodkan 17 kes varian Delta (B.1.617.2), termasuk dua import, daripada 189 kes di seluruh negara.

Varian berbahaya ini, dikesan di India, menjadi perbualan utama di seluruh dunia kerana cepat merebak dan mendatangkan risiko kematian.

Menurut perangkaan yang dikongsi ketua pengarah kesihatan di Facebook hari ini, Selangor mendahului negeri lain dalam penularan Beta (B.1.351) dengan 48 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan varian Delta banyak dicatat di Sarawak dengan 93 kes dan juga Beta dengan 45 kes.

Negeri lain yang tinggi jangkitan Delta seperti berikut: Pahang dengan 18 kes, Labuan (14), Kuala Lumpur (11) dan Johor (sembilan).

Beta, yang dikesan di Afrika Selatan, banyak juga ditemui di: Kelantan dengan 24 kes, Perak (16), Kedah (14) dan Johor (10).

Di seluruh negara varian ini merekodkan 206 kes, varian membimbangkan (VOC) yang paling banyak tersebar daripada 409 kes.

Sementara varian VOC yang kurang tersebar pula Alpha (B.1.1.7), pertama kali dikesan di United Kingdom. Daripada 14 kes semuanya, lapan dikesan di Selangor.

Varian yang perlu diwaspadai (VOI) pula tidak banyak dikesan di negara ini, hanya 20 kes dengan pecahan: Theta sebanyak 13 kes, Kappa (empat) dan Eta (tiga).

Theta (P.3), Kappa (B.1.617.1) dan Eta (B.1.525) masing-masing dikesan di Filipina, India dan beberapa negara.

Jumlah VOC dan VOI yang dikesan ini hasil kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak.