Categories
ADN SELANGOR

Masyarakat diminta peka, bantu jiran dalam kesusahan

PELABUHAN KLANG, 5 JULAI: Masyarakat diminta peka dengan keadaan jiran sekeliling yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata komuniti memainkan peranan penting supaya penduduk terutama yang terputus bekalan makanan dapat dibantu segera.

“Saya dimaklumkan ada penduduk di sini mengibarkan bendera putih sebagai isyarat memerlukan bantuan. Alhamdulillah penduduk dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) tampil membantu.

“Kami juga akan menghulurkan sumbangan tetapi memerlukan maklumat dari orang ramai. Sekiranya terlihat ada bendera putih dikibar dan tidak dapat membantu, maklumkan segera menerusi talian 017-2434200,” kata Azmizam zaman Huri hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan program bantuan bakul makanan untuk penduduk terjejas sekitar DUN Pelabuhan Klang.

Azmizam turut menyeru mana-mana syarikat, NGO dan individu berkemampuan untuk berganding bahu membantu penduduk terkesan.

Baru-baru ini, rakyat Malaysia memulakan kempen bendera putih. Menerusi kempen itu orang ramai dalam kesusahan diminta menaikkan bendera putih sebagai isyarat mereka memerlukan pertolongan.