Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selvax Industri lindungi pekerja, negeri lain wajar contohi Selangor

SHAH ALAM, 14 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri yang menyediakan suntikan kepada golongan pekerja harus menjadi ikutan negeri lain memandangkan manfaatnya yang besar.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata meskipun majikan terpaksa mengeluarkan belanja, namun ia berbaloi kerana mampu melindungi nyawa pekerja di samping kekal beroperasi.

“Kenapa perlu bayar? Rasanya perkara ini tidak perlu dipertikai sebab nyawa pekerja bernilai tinggi. Jika tak ada pekerja, siapa yang akan menjalankan operasi.

“Beli vaksin kita kena bayar sekali sahaja namun jika tak disuntik mereka terdedah jangkitan dan perlu disaring. Sekali jalani ujian memerlukan kos tak lebih RM150 dan modalnya tinggi jika kena buat berkali-kali,” kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Cabaran Pengurusan Sisa Ketika Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Ramli berkata setiap majikan perlu memanfaatkan peluang yang ada sekiranya ada pihak luar yang menjual vaksin berkenaan.

“Saya sokong dan nampak ini bukan perkara salah. Kita kurangkan perbelanjaan lain dan tumpukan (perbelanjaan) kepada proses pembelian vaksin.

“Kalau tunggu (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) kita tak tahu bila dapat. Majikan kena ambil langkah betul walau terpaksa bayar,” katanya.

Kerajaan Selangor menyediakan dua juta dos vaksin dalam Selvax Industri bagi mengawal dan melindungi semua pihak memandangkan sejumlah besar kes positif berpunca daripada tempat kerja.

Susulan itu lebih 62,000 syarikat membabitkan 2.9 juta pekerja mendaftar untuk mendapat bekalan pelalian menerusi program berkenaan.