Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan khairat kematian akibat Covid-19 lanjut hingga Disember

SHAH ALAM, 12 OGOS: Bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000 kepada ahli keluarga atau waris pesakit Covid-19 di Selangor dilanjutkan kepada 31 Disember.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan seramai 1,000 waris atau ahli keluarga bakal mendapat manfaat hasil tambahan peruntukan RM1 juta.

“Mengikut data sebelum ditutup pada 31 Ogos, seramai 1,500 orang sudah berdaftar. Kita melihat jumlah ini perlu ditambah melihat pertambahan jumlah kematian dan permohonan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam (11 Ogos) memutuskan untuk memanjangkan program manfaat RM1,000 khairat kematian Covid-19,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Waris atau ahli keluarga mangsa Covid-19 boleh memohon bantuan tersebut menerusi laman sesawang http://www.selangorprihatin.com.

Amirudin mengumumkan bantuan berkenaan melalui peruntukan RM1.5 juta bagi meringankan beban waris atau ahli keluarga pesakit wabak yang meninggal dunia.

Bantuan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang dibentang pada 9 Jun bagi membantu penduduk yang terjejas akibat perebakan Covid-19.

Syarat permohonan seperti berikut:

1. Warganegara Malaysia
2. Pemohon (waris terdekat) dan yang meninggal dunia (si mati) merupakan anak kelahiran Selangor serta menetap di Selangor atau bermastautin di Selangor lebih 10 tahun
3. Disahkan meninggal dunia berpunca daripada Covid-19 oleh hospital/klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian
4. Meninggal dunia di Selangor
5. Meninggal dunia pada 2021 dan ke atas sahaja
6. Terhad satu permohonan bagi satu keluarga