Categories
ADN SELANGOR

DUN Paya Jaras peruntuk RM300,000 bantu penduduk terkesan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sejumlah RM300,000 dibelanjakan bagi membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.

Wakil rakyat Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya memberikan bantuan kepada semua pihak sama ada warga tempatan mahu pun bukan warganegara.

“Cabaran kita adalah bukan sahaja pengundi dan rakyat Malaysia tetapi warga asing yang memiliki pasport atau kosong.

“Warga asing juga terkesan akibat pandemik dan mereka juga perlu dibantu supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui pada program vaksinasi atlet dan pengusaha industri sukan Selangor di Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.